Erti Puasa:
Menahan diri dari makan dan minum atau apa‐apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.
Wajib Puasa:
1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.
Syarat‐syarat Sah Puasa:
1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak‐kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30 hb. Syaaban).
5) Berniat puasa.
6) Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.
Rukun Puasa:
1) Niat, pada waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2) Meninggalkan semua perkara‐perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.
Perkara‐pekara yang Membatalkan Puasa:
Sekiranya
1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang‐lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Muntah dengan sengaja.
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).
Pantang‐larang orang yang berpuasa:
Iaitu perkara‐perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak
mendapat apa‐apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia‐sia).
1) Meninggalkan ibadat wajib, seperti solat fardu lima kali sehari.
2) Berdusta, berbohong.
3) Mengumpat, mengata orang.
4) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
5) Melihat benda‐benda yang mendatangkan keinginan/syahwat.
6) Marah.
7) Berbalah dan memutuskan siraturrahim.
8) Membuang masa seperti bermain terup, catur, merempit dan melepak.
Sunat‐sunat Puasa:
1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
2) Makan sahur walaupun sedikit.
3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda‐benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al‐Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8) Menghadiri majlis‐majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang‐orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.
No comments:
Post a Comment